Derita MAHASISWA
[ DERITA MAHASISWA ]
"...Jangan sesekali beranggapan bahawa saya tidak prihatin atau tidak peka terhadap cakap-cakap tersebut, walaupun bisikan itu datang secara perlahan dan bersifat sayup-sayup kedengaran..."
Saya mulakan penulisan saya ini dengan memetik kata-kata Dato' Seri Najib Tun Razak dalam buku 'Jawapan Najib' yang diterbitkan secara bersama oleh Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) dan MPH Group Publishing. Entah mengapa di saat GST hendak dilaksanakan, saya terjumpa buku tersebut. Lebih mengujakan, hati saya terbuka untuk menekuni buku tersebut buat julung-julung kalinya.
Perasan atau tidak, menjelang tarikh keramat 1 April 2015, beberapa orang ahli parlimen, aktivis politik serta pimpinan mahasiswa telah ditahan polis atas kesalahan 'mencabar' GST. Yang terbaru, kejadian di Pejabat Kastam Kelana Jaya serta himpunan #KitaLawan edisi perkahwinan di Kuala Lumpur. Tidak masuk akal ! Seolah-olah membantah pelaksanaan GST merupakan satu jenayah yang tidak terampun di negara ini. Di saat ini, saya cukup sangsi dengan 'keprihatinan' perdana menteri kesayangan kita semua terhadap sengsara dan derita rakyat.
Selaku pemimpin utama negara, ini merupakan peluang terbaik untuk beliau membuktikan bahawa kata-katanya bukan omong kosong. Malangnya, beliau tidak memanfaatkan peluang ini dengan sebaik-baiknya. Saya tidak mengerti mengapa beliau berulang-ulang kali mengucapkan "Era kerajaan mengetahui segala-galanya sudah lama berakhir" sedangkan hakikatnya jauh panggang dari api. Rakyat sudah muak mendengar ucapan retorik, yang rakyat mahukan adalah pembuktian melalui pelaksanaan kata-kata. Walk the talk Dato' Seri.
Suatu hakikat yang perlu diakui adalah belum pun lagi GST dilaksanakan, rakyat terpaksa menanggung kenaikan harga beberapa barangan dan perkidmataan. Intelek rakyat dipermain-mainkan begitu sahaja. Para peniaga mengambil kesempatan dengan sewenang-wenangnya menjadikan GST sebagai sebab musabab mengapa mereka menaikkan harga. Turut terkesan dengan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan ini pastinya golongan mahasiswa.
Teringat saya akan perbualan saya dengan seorang rakan tempoh hari. Beliau mengadu kepada saya mengenai kenaikan harga barangan sejak akhir-akhir ini. Ditambah lagi dengan pengumuman kadar tambang baru bagi pengangkutan awam oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), saya cukup memahami keperitan yang bakal ditanggung oleh rakan-rakan mahasiswa yang lain apabila kadar tambang baru ini mula dikuatkuasakan. Manakan tidak, kebergantungan golongan mahasiswa terhadap pengangkutan awam masih lagi tinggi. Kesannya, mahasiswa terpaksa mengeluarkan belanja yang lebih besar selepas ini.
Umum mengetahui bahawa mahasiswa dikehendaki untuk membayar yuran pengajian bagi menyambung pelajaran di institut pengajian tinggi. Perlu diingatkan, kadar yuran yang dikenakan biasanya mencecah sehingga puluhan ribu ringgit. Hal ini ternyata membebankan golongan mahasiswa yang mana kebanyakannya masih belum bekerjaya dan tidak mempunyai pendapatan tetap. Tidak dinafikan bahawa pinjaman PTPTN serta biasiswa daripada MARA, JPA dan sebagainya banyak membantu mahasiswa dari segi kewangan, namun jumlahnya masih tidak mencukupi bagi menampung kos sara hidup yang semakin meningkat.
Oleh sebab itu, terdapat segelintir mahasiswa yang mengambil inisiatif untuk menjana pendapatan mereka sendiri sama ada melalui urus niaga secara atas talian mahupun bekerja secara sambilan hingga lewat malam sebagai pengawal keselamatan, atendan pam minyak, pembantu penyelidik dan macam-macam lagi. Hasil dapatan yang tidak seberapa itu lah yang digunakan bagi membayar yuran pengajian serta menanggung makan minum mereka sehari-hari.
Disebabkan kurang waktu rehat akibat terlalu letih bekerja, acap kali kelompok mahasiswa yang bekerja secara sambilan ini tidak menghadiri kuliah. Kesannya, prestasi akademik merosot teruk dan tugasan yang diberikan oleh para pensyarah tidak disiapkan tepat pada masanya. Lebih malang lagi, ada mahasiswa yang mengambil jalan pintas dengan menjual kehormatan diri mereka kepada sugar daddy serta menjadi pengedar dadah bagi mendapatkan sejumlah wang yang banyak pada kadar yang segera. Perkara ini bukan lagi rahsia. Sudah banyak pendedahan mengenai perihal ini termuat dalam laman-laman sosial serta media cetak.
Semestinya kita tidak mahu kejadian di UIA Gombak berulang kembali. Insiden mahasiswa kebuluran mendapat liputan yang cukup meluas di laman sosial. Justeru, tindakan segera perlu diambil oleh pihak kerajaan bagi memastikan nasib mahasiswa terbela khususnya selepas GST dilaksanakan bermula 1 April ini. Alangkah baiknya jika Menteri Belia dan Sukan iaitu YB Khairy Jamaludin turut kehadapan dalam membela nasib mahasiswa. Kesungguhan beliau mendekati golongan muda serta melibatkan diri secara langsung dalam pelbagai aktiviti belia dan sukan tidak dapat dinafikan. Pada masa yang sama, mahasiswa juga turut mendambakan keprihatinan YB dalam mengangkat isu-isu mahasiswa.
Sifirnya cukup mudah YB. Kalau YB prihatin akan untung nasib mahasiswa, mahasiswa akan sanjung YB tanpa sedikit pun rasa ragu. Tapi kalau YB buat endah tak endah, mahasiswa tidak akan sesekali menaruh harapan pada YB lagi. Silap-silap, tengok muka YB pun mereka tidak mahu lepas ni. Kalau YB nak tahu, Idris Jusoh dan Muhyiddin Yassin dah lama dah kena pangkah !
31 Mac 2015
06:54 pagi
Sehari sebelum pelaksanaan GST
Ulasan